


AWAL tahun 1990-an nama kumpulan Mega mendaki sehingga ke puncak dek kerana lagu-lagu melankolik yang cukup mendapat tempat di hati peminat waktu itu.

"KUMPULAN Fotograf tidak tenggelam. Malah kami masih menunggu Ringgo dilepaskan untuk meneruskan pembikinan album yang seterusnya. Harapan kami ialah untuk mengabadikan nama Fotograf sampai bila-bila."
Demikian reaksi Shamrin, vokalis kumpulan Fotograf ketika ditanya tentang perkhabaran kumpulan itu yang telah lama menyepi dari industri hiburan tanah air. Fotograf turut dianggotai anggota asalnya, iaitu Ringgo (Drum), Amran (Gitar Bass) dan Abol (Gitar Utama). Ringgo kini ditahan di Venezuela kerana disyaki mengedar dadah di negara itu namun beliau mendakwa diperangkap oleh sindiket dadah antarabangsa.
Kebangkitan kumpulan muzik rock seperti Fotograf menjadi pemangkin keghairahan di kalangan peminat muzik tanah air pada pertengahan 80-an, sebelum irama pop mula menjadi siulan pada tahun 90-an.
Tidak mungkin sebahagian besar peminat muzik tempatan yang pernah melalui zaman itu lupa akan nama kumpulan seperti Mega, Lestari dan Fotograf.
Lagu-lagu seperti Di Alam Fana Cinta, Ke Pintu Kasih Mu dan Luka Seribu Rindu menjadi taruhan Fotograf pada era kebangkitan kumpulan-kumpulan rock.
Memori berputar kembali kepada kegamatan di pusat hiburan terkenal di Kuala Lumpur, Planet Hollywood ketika Fotograf hadir membuat persembahan di situ tidak lama dahulu.
Ia sudah cukup untuk membuktikan kehebatan Fotograf. Kumpulan yang dianggotai oleh empat orang pemuzik dan penyanyi itu mula berjinak-jinak dengan dunia muzik komersial seawal tahun 1987.
Lagu hits mereka, Di Alam Fana Cinta, telah menjulang nama mereka ke persada muzik rock. Versi lagu ini yang didendangkan bersama Datuk Sharifah Aini pernah memenangi Lagu Terbaik Kategori Rock pada Juara Lagu 1992 dan juga Anugerah Khas Muzik-Muzik.
Namun begitu, komitmen luar dan kesibukan masing-masing menyebabkan kumpulan ini terpaksa dibubarkan seketika.
"Masa itu semua ahli kumpulan bimbang kerjaya dalam bidang nyanyian tak boleh pergi jauh. Lagipun ekonomi ketika itu tak berapa stabil. Jadi semua anggota ambil keputusan meneruskan karier masing-masing kecuali saya dan Ringgo," ujar Shamrin yang turut berkebolehan mencipta lagu serta bermain gitar dan bass.
"Peminat tak tahu saya boleh cipta lagu. Dan mungkin kerana kurang mendapat perhatian media, nama Fotograf juga semakin dilupakan," luahnya.
Walaupun sepi daripada publisiti, hakikatnya Shamrin masih bertahan. Kesetiaannya dalam bidang muzik sukar digugat.
"Sudah hampir 21 tahun saya dalam industri. Tak pernah terlintas langsung di fikiran saya untuk bergiat dalam bidang lain," ujar pemegang Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Impiannya kini hanyalah untuk melihat kumpulan Fotograf bangkit semula. Namun tanpa sokongan penaja dan bantuan daripada pihak lain, sememangnya ia suatu perkara yang mustahil untuk direalisasikan.
"Saya sedang berusaha menghasilkan album baru dan merancang sebuah konsert besar untuk Fotograf. Tapi kami bukanlah artis di bawah syarikat rakaman. Sebab itu sukar untuk kami kembangkan sayap. Ini berlainan bagi artis yang dah ada label, mereka disokong oleh syarikat rakaman," luah Shamrin.
Kini, dalam menyatakan apresiasi diri serta cintanya terhadap bidang muzik, dia kerap muncul dalam konsert-konsert gabungan seperti konsert Gegar di Melaka pada 21 Mei lalu dan juga konsert Lefthanded-Mercy sebagai artis jemputan pada 30 Mei depan. - Kosmo

Sudah beberapa tahun kumpulan AXL's menyepi. Masing-masing bawa hal sendiri. Tapi lagu mereka tetap hangat.
Lagu lama mereka Akulah Kekasihmu menjadi antara lagu rock era 1990-an yang masih popular. Masih laku lagu itu dalam album kompilasi.
Malah apabila ada youtube lagu mereka juga antara yang dapat rating hit yang tinggi. Ramai yang mendegar lagu tersebut di Internet.
"Saya pun tak tahu lagu itu rupa-rupanya masih banyak peminat. Sebab itulah saya bakal muncul semula menghasilkan lagu baru," kata penyanyi utamanya Elly kepada Mangga Online.
Sekarang AXL's ada barisan baru kerana anggota asal sudah membawa haluan sendiri. Elly akan bersama-sama Rizz (dram), Attar (gitar utama) dan Topek (gitar kedua) dalam gernerasi baru AXL's nanti.
"Sebab populariti lagu itu di Internetlah maka kami masih dapat perhatian syarikat rakaman untuk muncul kembali," kata Elly lagi.
Elly sendiri sangat teruja untuk muncul kembali apabila mengetahui lagu nyanyian mereka masih diminati oleh golongan anak muda yang meminati muzik yang mereka bawakan.
"Tunggulah kemunculan lagu terbaru AXL's tahun ini," kata Elly yang masih mampu menyanyi dengan baik walaupun sudah lama tak aktif. - MANGGA ONLINE
Album bekas vokalis Iklim terjual lebih 10,000 unit
HAMPIR dua dekad berada dalam dunia seni muzik tanah air, perjalanan hidup penyanyi kelahiran Setiu, Terengganu, ini memang penuh berliku. Bersama-sama kumpulan Iklim, dia membina empayar kemasyhuran tersendiri. Namun, populariti yang dikecapi hasil kejayaan lagu Suci Dalam Debu serta deretan lagu cinta lain kemudiannya bagai turut membawa musibah bersama-samanya.
Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seorang anggota tentera pada pertengahan 90-an, penangkapan dirinya sendiri sebanyak dua kali akibat penyalahgunaan dadah, bagai meruntuh kubu tegar yang sekian lama dibina. Karier nyanyian penyanyi bernama Saleem bagai terumbang-ambing buat beberapa tahun. Disingkirkan daripada kumpulan sendiri, penyanyi ini mengorak langkah secara solo, walaupun onak tetap menanti di tengah jalan.
Namun, suara merdu yang serak dan sengau lantang milik Saleem tidak luntur walaupun pelbagai dugaan ditempuh penyanyi berusia 47 tahun ini. Pernah suatu ketika dia didakwa tidak lagi dapat menyanyi ketika lagu solonya, Juwita, layak ke akhir Anugerah Juara Lagu kira-kira sedekad yang lalu. Tetapi, dia terus diberikan kepercayaan penerbit dan syarikat rakaman. Mereka percaya pada bakat dan kebolehannya.
Apatah lagi, jejak abadi yang ditinggalkan ketika mula-mula bangun dulu begitu kuat kesannya. Dia antara penyanyi lelaki yang memiliki vokal berbeza, lantas mudah diingati buat jangka waktu yang lama. Maka, tidak kiralah betapa hebat ujian ditempuh lelaki ini, suaranya tetap digemari. Lalu, apabila album terbarunya, Aku Saleem - Trilogik Cinta dipasarkan Music Valley pada Ogos lalu, peminat terus menyambarnya.
Pada ketika pasaran album semakin merudum dek kegilaan peminat terhadap teknologi muat turun, album pertamanya bersama syarikat pengedaran album yang mempunyai 100 cawangan di seluruh negara itu masih berjaya dijual sebanyak 13,000 unit. Kemunculan album berkenaan dalam bentuk MTV karaoke, yang baru dilancarkan di Hard Rock Cafe, 10 Disember lalu, tentu akan menambahkan lagi angka jualan album terbabit.
Nyata, masih ramai peminat yang merindui suara penyanyi ini, seterusnya melariskan penjualan album berkenaan. Tatkala penyanyi lain tercungap-cungap untuk sekadar mencatat jualan sekitar 2,000 unit, Saleem menongkah arus untuk terus mengajak peminat membeli album fizikal.
Menurut Pengurus A&R Music Valley, Dexter Koh, jualan album MTV karaoke pula sering kali tidak mengecewakan berbanding CD audio. Peminat masih berkunjung ke kedai muzik mendapat album yang memuatkan visual lagu kegemaran mereka, berbanding tindakan memuat turun lagu yang dikeluarkan dalam bentuk audio semata-mata.
Faktor saiz fail yang agak besar, yang akan memakan ruang simpanan dalam telefon bimbit, pemain MP4 atau komputer peribadi, membuatkan album MTV karaoke tetap mendapat sambutan.
Dua album Saleem setahun
Dexter berkata bersama-sama Music Valley, Saleem akan tampil dengan sekurang-kurangnya dua album studio dan dua album MTV karaoke setahun. Tentunya sebuah perencanaan yang memastikan kesinambungan kejayaan karier seni lelaki ini berterusan, sekurang-kurangnya bagi tempoh separuh dekad dari sekarang.
Bersama syarikat itu, penyanyi terbabit mengikat kontrak selama lima tahun. Jika urusan rakaman menjadi tanggungjawab syarikat berkenaan, aspek pengurusan artis pula ditangani isteri Saleem sendiri, Julia Bachok.
"Saleem akan merakamkan album baru pada Januari ini. Sebagaimana album pertamanya bersama Music Valley, album berikutnya juga akan memuatkan dua lagu baru, manakala lagu selebihnya ialah lagu lama yang diberi nafas baru olehnya," kata Dexter yang ditemui selepas majlis pelancaran album MTV karaoke Trilogik Cinta.
Dua lagu berkenaan, satu daripadanya berentak balada manakala sebuah lagi berentak blues, ialah antara ciptaan Allahyarham JS Kevin (Zul Adnan Mohd Razali ) yang belum dirakam.
Mengenai jualan album itu yang sudah pun mencecah 13,000 unit, Dexter berkata, jika pada suatu waktu dulu album Saleem biasanya akan mencecah sehingga 200,000, dia tetap berbangga dengan pencapaian Trilogik Cinta kerana kebanyakan album tempatan hari ini gagal menarik minat pembeli atau peminat, akibat kemudahan muat turun atau cetak rompak. Strategi memberikan penekanan kepada penghasilan album MTV karaoke juga menunjukkan kesan positif, katanya.
Masih memperbaiki mutu suara
Saleem sendiri melahirkan kesyukuran apabila kehadirannya bersama album baru terus mendapat sokongan peminat. Begitu juga dia berterima kasih kepada Music Valley yang menyambarnya sebaik saja kontrak bersama Warner Music tamat pada tahun lalu. Maknanya, penyanyi ini tidak sempat ‘menganggur’ selepas berakhirnya kontrak bersama syarikat terdahulu. Ke Hujung Hayat ialah album terakhir Saleem bersama syarikat rakaman gergasi berkenaan.
"Apatah lagi kali ini saya berpeluang menjengah hampir ke segenap pelusuk tanah air mempromosikan album. Ia pengalaman yang sukar diperoleh sejak akhir-akhir ini. Namun, Music Valley dan pihak pengurusan percaya, siri promosi jelajah seperti itu banyak manfaatnya. Saya sendiri seronok turun padang bertemu peminat. Kini, mereka dapat mengenali saya dengan lebih baik, apabila siri promosi seperti ini dilakukan," katanya yang sejak awal-awal lagi memohon agar soalan berbentuk peribadi tidak diajukan dalam temubual.
Berhubung kemantapan vokal yang dilihat kembali menjadi milik penyanyi ini, termasuk ketika ditunjukkannya sewaktu mengadakan persembahan pada majlis pelancaran berkenaan, Saleem berkata, dia cukup bersyukur dengan anugerah Allah kepadanya.
"Sebenarnya, nada suara itu sememangnya sentiasa ada dalam diri kita. Allah pula masih mengurniakan saya dengan nada suara berkenaan. Saya sendiri pernah terfikir yang saya tidak akan dapat menyanyi sebaik dulu lagi, sejak berlakunya kemalangan itu serta beberapa peristiwa kemudian. Suara saya juga mungkin elok semula setelah sesi bertemu peminat sering diadakan. Saya dapat mengasah kembali suara dengan setiap persembahan yang dianjurkan," katanya.
Penyanyi ini turut mendedahkan betapa dia bersyukur ke hadrat Yang Esa apabila rezekinya dalam dunia seni semakin baik sejak dia diuruskan sendiri oleh Julia. Dia sendiri nyata amat selesa diuruskan insan yang dekat dengan diri dan memahaminya.

PERSEMBAHAN mantap Saleem diiringi kumpulan rock Khalifah.


PELANCARAN album MTV karaoke Trilogik Cinta disempurnakan Saleem dan Dexter.
Irama rock dengan lirik yang puitis sekitar 1980-an dan 1990-an kerap menjadi siulan remaja dan diminati sehingga kini. Kemunculan beberapa penyanyi sekitar era itu juga ternyata mempunyai daya tarikan. Penampilan mereka bukan saja dinantikan malah mempunyai gaya tersendiri.
Perkara itu tidak dinafikan lima vokalis Rock tanah air, Bahagia Daharun, 37, (Baggio Damasutra), Rahmat Toha, 39, (Rahmat Mega), Mohd Safee (Afee U-Topia), Rusli Mohd Sharif, 53, (Blank Gamma) dan Bakaruddin Daud, 43, (Burn Meditasi).
Menerusi sesi fotografi yang dibuat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, pelbagai pengalaman menarik dikongsi berkaitan karier seni di samping aktiviti terkini masing-masing.
Pada zaman kemuncak mereka cukup dikenali menerusi lagu yang disampaikan bersama kumpulan masing-masing hampir sedekad yang lalu. Begitupun, tidak ramai yang menyedari mereka masih aktif menyanyi walaupun sibuk dengan urusan peribadi dan pekerjaan sampingan.
Menurut Baggio yang membabitkan diri dalam bidang seni sejak 1991, sebagai insan seni di negara ini dia juga seperti rakan seperjuangan yang lain apabila perlu berusaha gigih untuk mengukir nama apabila bergelar anak seni.
“Setakat ini saya memang memberi tumpuan sepenuh masa kepada bidang seni. Selain baru selesai berlakon saya masih menerima jemputan menjayakan persembahan pada majlis tertentu. Saya baru selesai penggambaran telefilem komedi, Pak Pong terbitan Zeel Production arahan Murali untuk RTM.
“Saya juga diundang Awang BPR menyanyikan dua lagu dalam album kompilasi berjudul Awang BPR & Co yang dijual menerusi laman web. Album itu menampilkan beberapa artis tempatan seperti Nash, Z Kool dan kumpulan Kaca. Saya menyanyikan dua lagu, Cinta Ku Honey dan Amarah Bumi ciptaan pendatang baru, Shawn,” katanya.
Album baru diilhamkan oleh Awang boleh dibeli menerusi laman web www.myjammin.com.
Bagi penyanyinya yang popular menerusi lagu Kembang Terhalang, Blank berkata karier nyanyiannya tidak pernah berkubur walaupun usia sudah mencecah 53 tahun. Disamping menyanyi bapa kepada lima anak ini berkerja sebagai Pengurus Syarikat Bahang Asmara Enterprise yang mengendalikan kerja kebersihan dan pembinaan.
“Nyanyian sudah sebati dalam hidup saya. Walaupun sudah berusia saya sentiasa mahu mengadakan persembahan dan berkumpul bersama teman seperjuangan dalam bidang seni. Jika tiada aral saya juga akan menghasilkan album baru dengan menggabungkan semula semua anggota asal kami,” katanya.
Sepanjang bersama kumpulan itu, Blank sudah menghasilkan empat album. Blank juga antara artis yang menjayakan konsert Rock Prima membabitkan 26 kumpulan tempatan yang mengadakan persembahan rakaman dan secara langsung.
“Usaha pihak penerbitan program Rock Prima perlu dipuji untuk menjayakan persembahan yang julung kali diadakan itu. Menerusi program ini setiap kumpulan muzik yang diundang menjayakan persembahan secara langsung dan rakaman yang disiarkan menerusi saluran Astro Prima selepas Raya kelak.
“Kumpulan yang terbabit menjayakan persembahan ini antaranya, May, Putra, Meditasi dan Fotograf. Pembabitan dalam program ini dapat mengimbau kembali kenangan ketika zaman kemuncak pembabitan masing-masing,” katanya.
Afee U-Topia yang berkawan rapat dengan Blank turut terbabit dalam program Rock Prima itu tampil dengan projek rakaman bersama Life Record. U-Topia yang pernah bernaung dibawah Karya Muzik Sdn Bhd pada 1989 ketika menghasilkan album pertama berjudul, Mithali Cintaku diikuti album kedua, Maya Percintaan.
Menurut Afee permintaan terhadap lagu rock 80-an masih tinggi memandangkan alunan melodinya mempunyai tarikan tersendiri. Malah berdasarkan pengalaman mengadakan persembahan di beberapa negeri masih ada permintaan terhadap lagu itu.
“Disebabkan itu kami menampilkan projek khas dengan kerjasama Life Record. Projek ini membabitkan beberapa lagu hit membabitkan beberapa kumpulan seperti Laksamana, Dinamik dan U-Topia sendiri. Idea menghasilkan projek ini timbul apabila lagu, Inikah Cinta Kita mendapat kejayaan apabila tiga minggu berada dalam carta berturut-turut menerusi radio KLFM.
“Bagaimanapun entah kenapa album yang sudah dirakamkan tahun lalu itu masih belum dijual di pasaran. Mungkin disebabkan faktor tertentu pihak syarikat rakaman tidak berani untuk mengedarkan album itu,” katanya.
Sementara itu, Rahmat Mega yang popular menerusi irama penuh kenangan seperti Nina Karina, Takdir & Waktu, Suara Cinta serta Bayangan Gurauan turut menyimpan impian merakamkan single pada masa depan jika diberikan berkesempatan.
“Setakat ini, saya memang sibuk dengan perniagaan. Cuma kadang kala itu saya turut terbabit menjayakan persembahan. Memang saya ada perancangan untuk menghasilkan album tetapi menunggu masa yang sesuai. Sebenarnya lagu yang saya cipta sendiri sudah ada namun belum berkesempatan untuk memulakan proses rakamannya,” katanya.
Bagi vokalis kumpulan Meditasi, Burn impian untuk menubuhkan studio semakin menampakkan kejayaan selepas lebih 20 tahun 'berehat' daripada industri hiburan.
“Jika tiada aral saya akan membuka studio rakaman berhampiran kediaman di Bukit Beruntung, Selangor. Saya bersyukur kerana wang simpanan yang dikumpul akhirnya menampakkan hasil dengan pembukaan studio ini. Hajat untuk menubuhkan studio ini memang sudah lama terpendam namun baru kini dapat dilaksanakan,” kata bapa kepada dua anak ini.
Burn dan anggota asal kumpulan Meditasi, Man Tobey (bass) dijangka membentuk kembali kumpulan itu dengan penampilan beberapa ahli baru seperti Rezal (gitar), Boy Melisa bekas anggota kumpulan Real XPDC (gitar) dan Elly (dram). Bersama Meditasi, Burn menghasilkan empat album iaitu Biar Pedih Kasih, Bidadari, Takdir Menanti dan terakhir Demi Rindu sekitar 1995.
Disamping terbabit dalam kerja penyediaan sistem bunyi di majlis tertentu (PA Sistem) dia juga menghasilkan album Raya dengan konsep Rock selain menerbitkan beberapa lagu nasyid untuk syarikat rakaman, SCS.
Pelbagai cerita dikongsi vokalis Rock tanah air apabila berkumpul bersama. Walaupun sibuk dengan urusan masing-masing namun mereka jarang berputus hubungan apabila kerap berhubung antara satu sama lain menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan telefon. Malah sambutan Syawal lalu mereka sambut dengan sederhana bersama keluarga masing-masing.
Sumber: Harian Metro 6/10/08